my tomodachi

20101201

B'coz I Love You..NO OTHER then SUJU..[Bab Pengenalan]


BAB1 

“Abang Hee kat mana? Wiena tak jumpa pun kelas Abang Hee.” Gadis berkurung putih, pakaian seragam sekolah itu berjalan tanpa hala tuju yang pasti. Dia sedang mencari seseorang.
“Kau kat tingkat mana? Kan abang dah cakap kelas abang kat tingkat tiga menghadap padang sekolah. Cepatlah. Abang tunggu ni,” suara di sana memberi tunjuk arah melalui telefon bimbitnya.
“Okey…” Wiena menutup talian lantas segera mendaki anak tangga bangunan sekolah untuk menjejaki kelas Abang Hee, teman sepermainan merangkap body guard nya ketika kanak-kanak dahulu.
Sejak kecil dia sangat akrab dengan Farihin atau Abang Hee. Lelaki itu sudah dianggap seperti abang sendiri. Namun mereka telah berpisah apabila keluarga Wiena berpindah ke utara tanah air. Sejak hari itu, kini perpisahan mereka sudah menjangkau hampir sepuluh tahun.
Mungkin jodoh masih panjang mereka bakal bertemu semula hari ini kerana Wiena telah ditawarkan ke sekolah yang sama dengan Farihin.
Wiena sudah sampai di tingkat ketiga bangunan. Dia mencari kelas Farihin yang dikatakan menghadap padang sekolah. Kelas 5K1 tertera di kepala lawang pintu. Wiena terjenguk-jenguk mengintai ke dalam kelas mencari kelibat Farihin. Dia gagal mengecam Farihin yang kemungkinan sudah banyak berubah setelah sekian lama mereka berpisah.
Pintu diketuk dan Wiena masuk ke dalam kelas tersebut yang boleh dikatakan majoriti penghuninya ialah perempuan. Dia tidak pasti ia kelas apa tapi yang pasti inilah satu-satunya kelas yang menghadap ke padang sekolah. Matanya melilau-lilau menjejaki kelibat Farihin di dalam kelas tersebut. Kalau kebanyakan pelajar kelas tersebut ialah wanita sepatutnya tidaklah susah hendak mengecam Farihin yang berjantina lelaki. Namun Wiena masih terpinga-pinga menjejaki kelibat Farihin.
Akhirnya dia memberanikan diri bertanya kepada salah seorang pelajar dalam kelas tersebut yang secara tidak langsung telah menjadi seniornya kini.
“Kakak, boleh tumpang tanya… kakak kenal dengan Abang Farihin tak?”
Pelajar senior yang berambut panjang mengurai itu merenung Wiena pelik. Matanya terkedip-kedip sambil sesekali menjeling ke belakang kelas memandang sekumpulan pelajar yang sedang berkumpul di sana.
“Cari Farihin?”
Wiena mengangguk.
“Kenapa nak jumpa Farihin? Awak ni  pelajar junior yang baru masuk sini kan…”
Gadis berbaju kurung tetapi ber-cap merah dengan rambut super kontot itu mengangguk lagi dengan senyuman manis di wajah.
“Kawan Farihin ke?”
Wiena mengangguk. “Kami pernah berjiran dulu. Hurmm~ kat mana nak cari dia?”
“Dia ada dalam kelas ni.” Pelajar perempuan tersebut menjuihkan mulut ke arah Farihin yang duduk dalam kumpulan pelajar perempuan di belakang kelas.
Mata Wiena tertumpu ke arah yang diajukan. Matanya masih samar-samar mengecam mana Abang Hee nya. “Macam semuanya perempuan je.”
“Woi, Wiena!” Suara garau seorang lelaki tiba-tiba berkumandang. Bangkit seorang pelajar lelaki dari kelompok kumpulan pelajar perempuan tersebut lantas berjalan pergi mendapatkan Wiena dengan lagak control machonya.
Wiena merenung tajam ke arah pemuda yang sedang berjalan menghampirinya itu. Cap di kepalanya dikemaskan. Bahagian hadapan cap dipusing ke belakang kepala. Matanya bulat meneliti pemuda tersebut. Dahinya berkerut-kerut. Cuba mengingati sesuatu.
Pemuda itu berpenampilan kemas dalam seragam sekolah. Kemeja putihnya sekan-akan bersinar di mata Wiena. Putih melepak tanpa sebarang kotoran. Halus rata tanpa sebarang kedutan. Hujung lengan kemejanya sungguh tajam menunjukkan ketelitiannya menggosok baju. Aci boleh potong timun gitu. Rambut hitamnya agak panjang namun tidak sampai melepasi bahu. Rambut hadapannya disilang ketengah kepala dan dikemaskan dengan sepit rambut berwarna putih.
Tentang wajahnya pula… sangat mengingatkan Wiena akan seseorang yang pernah dikenalinya dulu. Namun wajah kenalannya itu tidaklah sebersih dan sehalus kulit wajah pemuda di hadapannya itu. Cuma ada satu persamaan yang membuatkan Wiena percaya pemuda itu adalah Abang Hee yang dikenalinya dulu iaitu kesan parut di bawah dagu akibat kenakalannya ketika zaman kanak-kanak dahulu. Luka akibat jatuh pokok itu masih berbekas sehingga sekarang.
Wiena senyum lebar…
“Abang Hee!!!”… cantiknya dia sekarang. Bisik Wiena sendirian.
“Wiena!!!”… tak sangka si kuat nangis ni dah macam jantanlah sekarang. Dalam hati sempat memberi komen tentang Winda.
Masing-masing menuding ke arah masing-masing. Pertemuan selepas sepuluh tahun memang mengejutkan. Masing-masing sudah banyak berubah. The Selekeh Boy dah jadi smart gile vaveng tahap nak mencairkan jiwa raga gadis. The Selebet Girl dah berubah jadi boyish cute berkurung, pakaian seragam sekolah.

No comments:

Post a Comment